Nabi
Adam A.S. merupakan nabi dan juga manusia pertama yang bergelar khalifah
Allah yang dimuliakan dan ditinggikan darjatnya menjadi nabi yang
pertama. Baginda diutuskan kepada anak cucunya agar menyembah Allah,
Tuhan Yang Maha Esa. Maka di antara mereka ada yang taat dan ada pula
yang enggan.
Nabi
Adam A.S. pada mulanya ditempatkan di syurga tetapi telah diturunkan ke
bumi bersama isterinya, Hawa kerana mengingkari perintah Allah.
Ringkasan riwayat hidup
Setelah
Allah s.w.t. menciptakan bumi, langit, malaikat-malaikatnya; Allah mahu
mencipta pula sejenis makhluk lain yang akan menghuni dan mengisi bumi
serta memeliharanya.
Para
malaikat ketika dikhabarkan oleh Allah akan kehendak-Nya menciptakan
makhluk itu, mereka risau sekiranya kehendak Allah menciptakan makhluk
yang lain itu akan menyebabkan kecuaian atau kelalaian mereka dalam
ibadah dan menjalankan tugas atau kerana pelanggaran yang mereka lakukan
tanpa disedari. Berkata mereka kepada Allah s.w.t.:
“Wahai
Tuhan kami! Untuk apa Tuhan menciptakan makhluk lain selain
kami,padahal kami selalu bertasbih, bertahmid, melakukan ibadah dan
mengagungkan nama-Mu tanpa henti-henti, sedangkan makhluk yang Tuhan
akan ciptakan dan turunkan ke bumi itu, nescaya akan bertengkar satu
dengan lain, akan saling bunuh-membunuh kerana berebut untuk menguasai
kekayaan alam yang terlihat di atasnya dan terpendam di dalamnya,
sehingga akan terjadilah kerosakan dan kehancuran di atas bumi yang
Tuhan ciptakan itu.”
Allah berfirman, menghilangkan kekhuatiran para malaikat itu:
“Aku
mengetahui apa yang kamu tidak ketahui dan Aku sendirilah yang
mengetahui hikmat penguasaan Bani Adam atas bumi-Ku. Bila Aku telah
menciptakannya dan meniupkan roh kepadanya, maka bersujudlah kamu di
hadapan makhluk baru itu sebagai penghormatan dan bukan sebagai sujud
ibadah, kerana Allah s.w.t. melarang hamba-Nya beribadah kepada sesama
makhluk-Nya.” [Al-Baqarah 2:30]
Kemudian,
diciptakanlah Adam oleh Allah s.w.t.dari segumpal tanah liat yang
kering dan lumpur hitam yang berbentuk. Setelah disempurnakan bentuknya
ditiupkanlah roh ciptaan Tuhan ke dalamnya dan berdirilah ia tegak
menjadi manusia yang sempurna:
PENCIPTAAN ADAM
Kesombongan Iblis
Ketika
semua makhluk syurga sujud kepada keagungan Allah itu, Iblis
membangkang dan enggan mematuhi perintah Allah kerana merasa dirinya
lebih mulia, lebih utama dan lebih agung dari Adam. Demikian halnya
adalah disebabkan Iblis diciptakan dari unsur api sedangkan Adam
hanyalah dari tanah dan lumpur. Kebanggaan dengan asal-usulnya
menjadikannya sombong dan tidak layak untuk bersujud menghormati Adam
seperti para malaikat yang lain, walaupun telah diperintah oleh Allah.
Disebabkan
oleh kesombongan, kebongkakan dan keengganan melakukan sujud yang
diperintahkan, maka Allah menghukum Iblis dengan mengusirnya dari syurga
dan mengeluarkannya daripada barisan malaikat disertai kutukan dan
laknat yang akan melekat pada dirinya hingga hari kiamat. Di samping
itu, dia telah dijamin sebagai penghuni neraka.
Iblis
dengan sombongnya menerima hukuman Tuhan itu dan dia hanya bermohon
agar kepadanya diberi kesempatan untuk hidup kekal sehingga hari
kemusnahan alam. Allah memperkenankan permohonannya itu. Tanpa berterima
kasih dan bersyukur atas pemberian jaminan itu, dia sebaliknya
mengancam akan menyesatkan Adam, sebagai punca terusirnya dia dari
syurga, dan akan datang kepada anak-anak keturunannya dari segala sudut
untuk memujuk mereka meninggalkan jalan yang lurus dan mengikutinya
menempuh jalan yang sesat.
Kemudian,
Allah berfirman kepada Iblis yang terkutuk itu sambil melaknatnya.
Allah berkata bahawa Iblis tidak akan berjaya menyesatkan hamba-Nya yang
beriman dengan sepenuh hati.
Pengetahuan Adam mengenai nama-nama benda
Allah
hendak menghilangkan pandangan serong para malaikat terhadap Adam dan
menyakinkan mereka akan kebenaran hikmah-Nya yang menyatakan Adam
sebagai penguasa bumi, maka diajarkan kepada Adam nama-nama benda yang
berada di alam semesta, kemudian ditunjukkan benda-benda itu di hadapan
para malaikat lalu mencabar malaikat menyebut nama itu untuk kalahkan
Adam. Para malaikat tidak berdaya menyahut cabaran Allah untuk menyebut
nama-nama benda yang berada di depan mereka dan mengaku ketidaktahuaan
mereka dengan mengatakan yang mereka tidak memiliki pengetahuan tentang
sesuatu kecuali apa yang Tuhan ajarkan mereka.
Adam
lalu diperintahkan oleh Allah untuk memberitahu nama-nama itu kepada
para malaikat dan setelah diberitahu oleh Adam, berfirmanlah Allah
kepada mereka bahawa Dia sahaja yang mengetahui rahsia langit dan bumi
serta mengetahui apa yang zahir dan tersembunyi.
Adam menghuni Syurga
Adam
diberi tempat oleh Allah di syurga dan baginya diciptakanlah Hawa untuk
mendampinginya dan menjadi teman hidupnya, menghilangkan rasa
kesepiannya dan melengkapi keperluan fitrahnya untuk mengembangkan
keturunannya. Menurut cerita para ulama, Hawa diciptakan oleh Allah dari
salah satu tulang rusuk Adam yang disebelah kiri pada waktu baginda
masih tidur sehingga ketika baginda terjaga, baginda melihat Hawa sudah
berada di sisinya. Lalu baginda disoal oleh malaikat:”Wahai Adam! Apa
dan siapakah makhluk yang berada di sampingmu itu?”
Berkatalah
Adam:”Seorang perempuan.”Sesuai dengan fitrah yang telah diilhamkan
oleh Allah kepadanya.”Siapa namanya?”tanya malaikat lagi.”Hawa”,jawab
Adam.”Untuk apa Tuhan menciptakan makhluk ini?”,tanya malaikat lagi.
Adam menjawab:”Untuk mendampingiku, memberi kebahagian kepadaku dan
mengisi keperluan hidupku sesuai dengan kehendak Allah.”
Allah
berpesan kepada Adam:”Tinggallah engkau bersama isterimu di syurga,
rasakanlah kenikmatan yang berlimpah-limpah didalamnya, rasailah dan
makanlah buah-buahan yang lazat yang terdapat di dalamnya sepuas hatimu
dan nafsumu. Kamu tidak akan mengalami atau merasa lapar,dahaga ataupun
letih selama kamu berada di dalamnya. Akan tetapi janganlah engkau makan
buah dari pohon ini yang akan menyebabkan kamu celaka dan termasuk
orang-orang yang zalim. Ketahuilah bahawa Iblis itu adalah musuhmu dan
musuh isterimu,ia akan berusaha memujuk kamu dan menyeret kamu keluar
dari syurga sehingga hilanglah kebahagiaan yang kamu sedang nikmati
ini.”
Iblis mula bertindak
Sesuai
dengan ancaman yang diucapkan ketika diusir oleh Allah dari Syurga
akibat keengganannya dan terdorong pula oleh rasa iri hati dan hasad
dengki terhadap Adam yang menjadi penyebab sehinggakan dia dikutuk dan
dilaknat selama-lamanya serta tersingkir dari singgahsana kebesarannya.
Iblis mula menunjukkan rancangan untuk menyesatkan Adam dan Hawa yang
sedang hidup berdua di syurga yang tenteram, damai dan bahagia.
Dia
menyatakan kepada mereka bahawa dia adalah kawan mereka dan ingin
memberi nasihat dan petunjuk untuk kebaikan dan mengekalkan kebahagiaan
mereka. Pelbagai cara dan kata-kata halus digunakan oleh Iblis untuk
mendapatkan kepercayaan Adam dan Hawa bahawa dia betul-betul jujur dalam
nasihat dan memberi petunjuk kepada mereka. Dia membisikkan kepada
mereka bahawa larangan Tuhan kepada mereka memakan buah-buah yang
ditunjukkan itu adalah kerana dengan memakan buah itu mereka akan
menjelma menjadi malaikat dan akan hidup kekal. Diulang-ulangi lpujukkan
itu dengan menunjukkan akan harumnya bau pohon yang dilarang itu dan
indah nian bentuk buahnya serta lazat rasanya. Akhirnya termakanlah
pujuk rayu yang halus itu oleh Adam dan Hawa dan melanggari larangan
Tuhan.
Allah mencela perbuatan mereka itu dan berfirman yang bermaksud:
“Tidakkah
Aku mencegah kamu daripada mendekati pohon itu dan memakan buahnya dan
tidakkah Aku telah ingatkan kamu bahawa syaitan itu adalah musuhmu yang
nyata.”
Adam
dan Hawa mendengar firman Allah itu sedarlah mereka bahawa mereka telah
melanggari perintah Allah dan bahawa mereka telah melakukan suatu
kesalahan serta dosa besar. Maka mereka menyesal dan berkatalah mereka:
“Wahai
Tuhan kami! Kami telah menganiayai diri kami sendiri dan telah
melanggari perintah-Mu kerana terikut pujukan Iblis. Ampunilah dosa kami
kerana nescaya kami akan tergolong orang-orang yang rugi bila Engkau
tidak mengampuni dan mengasihi kami.”
Adam dan Hawa diturunkan ke Bumi
Allah
telah menerima taubat Adam dan Hawa serta mengampunkan perbuatan yang
mereka telah lakukan. Hal ini demikian telah melegakan dada mereka dan
menghilangkan rasa sedih akibat kelalaian mereka terhadap peringatan
Tuhan mengenai Iblis sehingga terjerumus menjadi mangsa pujukan dan
rayunya yang manis namun beracun itu.
Adam
dan Hawa merasa tenteram kembali setelah menerima pengampunan Allah dan
selanjutnya akan menjaga jangan sampai tertipu lagi oleh Iblis dan akan
berusaha agar tidak mengulangi pelanggaran yang telah dilakukan serta
menimbulkan murka seta teguran Tuhan itu menjadi pengajaran bagi mereka
berdua untuk lebih berhati-hati menghadapi tipu daya dan pujukan Iblis
yang dilaknat itu.
Harapan
untuk tinggal terus di syurga yang telah pudar kerana perbuatan mereka
melanggar perintah Allah, hidup kembali dalam hati dan fikiran Adam dan
Hawa yang merasa kenikmatan dan kebahagiaan hidup mereka di syurga tidak
akan terganggu oleh sesuatu dan bahawa redha Allah serta rahmatnya akan
tetap melimpah di atas mereka untuk selama-lamanya. Akan tetapi Allah
telah menentukan dalam takdir-Nya apa yang tidak terlintas dalam hati
dan tidak terfikirkan oleh mereka.
Allah
s.w.t.yang telah menentukan dalam takdir-nya bahawa bumi yang penuh
dengan kekayaan untuk diterokaiya, akan dikuasai kepada manusia
keturunan Adam memerintahkan Adam dan Hawa turun ke bumi sebagai benih
pertama dari hamba-hambanya yang bernama manusia itu. Berfirmanlah Allah
kepada mereka:”Turunlah kamu ke bumi sebahagian daripada kamu menjadi
musuh bagi sebahagian yang lain kamu dapat tinggal tetap dan hidup
disana sampai waktu yang telah ditentukan.”
Turunlah
Adam dan Hawa ke bumi menghadapi cara hidup baru yang jauh berlainan
dengan hidup di syurga yang pernah dialami dan yang tidak akan berulang
kembali.Mereka harus menempuh hidup di dunia yang fana ini dengan suka
dan dukanya dan akan menurunkan umat manusia yang beraneka ragam sifat
serta tabiat mereka yang berbeza-beza serta warna kulit dan kecerdasan
otaknya.
Umat
manusia akan hidup berkelompok dan menjadi suku-suku serta
bangsa-bangsa yang mana selah satu akan menjadi musuh yang lain saling
bunuh-membunuh, aniaya-menganianya dan tindas-menindas sehingga Allah
mengutuskan nabi-nabi-Nya dan rasul-rasul-Nya untuk memimpin
hamba-hamba-Nya ke jalan yang lurus dan penuh damai , kasih sayang di
antara sesama manusia untuk menuju jalan yang diredhai-Nya dan
kebahagiaan manusia di dunia dan akhirat.
Kisah Adam dalam Al-Quran
Al-Quran
menceritakan kisah Adam dalam beberapa surah di antaranya surah
Al-Baqarah ayat 30 sehingga ayat 38 dan surah Al-A’raaf ayat 11 sehingga
25
Pengajaran yang terdapat dari kisah Adam
Bahawasanya
hikmah yang terkandung dalam perintah-perintah dan larangan-larangan
Allah dan dalam apa yang diciptakannya kadangkala tidak atau belum dapat
dicapai oleh otak manusia bahkan oleh makhluk-Nya yang terdekat
sebagaimana telah dialami oleh para malaikat tatkala diberitahu bahawa
Allah akan menciptakan manusia – keturunan Adam untuk menjadi
khalifah-Nya di bumi sehinggakan mereka seakan-akan keberatan dan
bertanya-tanya mengapa dan untuk apa Allah menciptakan makhluk lain
daripada mereka yang sudah taat, rajin beribadat, bertasbih, bertahmid
dan mengagung- agungkankan nama-Nya.
Bahawasanya
manusia walaupun telah dikurniakan kecergasan berfikir dan kekuatan
fizikal dan mental mereka tetap mempunyai beberapa kelemahan pada
dirinya seperti sifat lalai, lupa dan khilaf. Seperti mana yang telah
terjadi pada diri Nabi Adam walaupun baginda telah menjadi manusia yang
sempurna dan dikurniakan kedudukan yang istimewa di syurga ia tetap
tidak terhindar dari sifat-sifat manusia yang lemah itu. Baginda telah
lupa dan mengingkari perintah Allah kepadanya mengenai pohon terlarang
itu dan mengenai Iblis yang menjadi musuhnya dan musuh seluruh
keturunannya, sehingga terperangkap ke dalam tipu daya dan terjadilah
pelanggaran pertama yang dilakukan oleh manusia terhadap larangan Allah.
Bahawasanya
seseorang yang telah terlanjur melakukan maksiat dan berbuat dosa
tidakkah sepatutnya mereka berputus asa dari rahmat dan ampunan Tuhan
asalkan mereka sedar akan kesilapan dan bertaubat serta tidak akan
mengulanginya . Rahmat Allah dan maghfirah-Nya dapat mencakupi segala
dosa yang dilakukan oleh hamba-Nya kecuali syirik sekalipun dosa besar
asalkan diikuti dengan kesedaran bertaubat dan pengakuan kesalahan.
Sifat
sombong dan bongkak selalu membawa kepada kerugian dan kebinasaan.
Lihatlah Iblis yang turun dari singgahsananya dilucutkan kedudukannya
sebagai seorang malaikat dan diusir oleh Allah dari syurga dengan
disertai kutukan dan laknat yang akan melekat kepada dirinya sehingga
hari Kiamat kerana kesombongannya dan kebanggaaannya dengan asal-usulnya
sehingga dia menganggap dan memandang rendah Nabi Adam dan menolak
untuk sujud menghormatinya walaupun diperintahkan oleh Allah SWT.